Asalamualaikum w.b.t.
Mengenali Mujaddid Bediuzzaman Said Nursi dan Tafsir Beliau, Risalah An-Nur
Ustaz Bediuzzaman Said Nursi dan tafsir beliau, “Risalah
an-Nur” merupakan “Mujaddid” pada zaman
ini, lagipun kedua-duanya telah diterima oleh ulama-ulama terkenal dari kalangan
“Ahli Sunnah wal-Jemaah” seperti Yusuf al-Qardawi, Ramadan al-Buti, Wahbah
al-Zuhayli,kebanyakan ulama dari Universiti al-Azhar, Jabatan Agama Islam di
Turki sertapelbagai kumpulan atau orang-orang lain yang penting di sisi umat
Islam. Marilah kita menghayati kisah perjuangan dan pemikiran Mujaddid
Bediuzzaman Said Nursi:
Bediuzzaman Said Nursi dilahirkan pada tahun 1877 di
kampung bernama Nurs, di timur Anatolia. Perkataan Nursi pada akhir nama beliau
adalah sempena nama kampungnya ini. Beliau menerima pendidikan awal dalam
berbagai bidang agama dan sains dari beberapa ulama terkenal di sekitar daerah
nya dan di beberapa daerah lain di Turki. Ketika masih muda, beliau telah
menunjukkan kepandaian dan kemahiran yang luar biasa di dalam pelajaran. Hal
ini membuatkan beliau terkenal bukan sahaja di kalangan guru dan rakan-rakan
tetapi juga orang ramai. Dalam masa yang singkat, beliau mampu mendalami ilmu
Tafsir, Hadith, Fiqh, Mantiq, Logik dan Nahu.
Beliau juga berjaya menghafal lebih kurang 80 buah Matan.
Semasa masih berusia 16 tahun, beliau telah mengalahkan beberapa ulama
terkemuka yang telah menjemputnya ke beberapa majlis perbahasan. Ketika itu
perbahasan ialah satu amalan biasa di kalangan ulama. Mereka kemudian
menggelarnya Bediuzzaman atau Keunggulan Zaman.
Pengalaman beliau dalam berbagai bidang pendidikan yang
dilalui telah mengubah fikirannya untuk memikirkan cara menghasilkan sistem
pendidikan yang bersepadu. Ketika itu dunia sedang memasuki satu zaman baru
yang membawa angin perubahan di mana ilmu sains dan ilmu mantik (logik)
memainkan peranan penting. Beliau berpendapat ilmu agama perlu diajar di
sekolah-sekolah moden, dan sebaliknya ilmu sains moden perlu diajar di
sekolah-sekolah agama.
Katanya, “Dengan cara ini, para pelajar di sekolah moden
dilindungi dari kekufuran dan para pelajar di sekolah agama dilindungi dari
sikap taasub”. Dalam usaha merealisasikan cita-citanya ini, beliau telah pergi
ke Istanbul sebanyak dua kali. Kali pertama pada tahun 1896 dan kali keduanya
pada tahun 1907. Di sana beliau telah cuba meyakinkan Sultan Abdul Hamid supaya
membina sebuah universiti di Anatolia (Turki Timur) yang mengajar ilmu agama
dan ilmu sains secara bersepadu. Pada masa itu, ketika cuba meyakinkan Sultan
Abdul Hamid, Bediuzzaman telah menggunakan bahasa yang agak kasar sehingga
menyebabkan beliau dibicarakan di
mahkamah tentera. Di mahkamah tentera beliau masih
menggunakan bahasa yang sama. Lantaran terkejut dengan hal ini, para hakim
mahkamah tentera telah menghantarnya ke sebuah hospital sakit jiwa untuk
diperiksa. Walau bagaimanapun, doktor yang memeriksanya telah mengatakan “Jika
Bediuzzaman dianggap gila, maka tidak akan ada seorang pun manusia yang siuman
di dalam dunia ini”. Selepas itu, beliau terus dibebaskan.
Ustaz Bediuzzaman sering kali menjadi sasaran fitnah yang
bertentangan dengan niat dan cita-citanya. Ketika berlakunya pemberontakan pada
31 Mac, 1909, beliau telah ditangkap dan dibicarakan di mahkamah tentera atas
tuduhan mencetuskan kekacauan. Sebenarnya pada masa itu, beliau telah cuba
menenteramkan keadaan sehingga telah berjaya pada sesuatu peringkat. Apabila
mayat orang-orang yang dihukum gantung masih di tali gantung di luar tingkap
mahkamah, Bediuzzaman telah berjaya berhujah mempertahankan diri dan akhirnya
telah dibebaskan. Seterusnya, beliau kembali ke Anatolia Timur dan melawat
kawasan-kawasan terpencil untuk menerangkan kepada rakyat bahawa satu gerakan
pembebasan yang sedang ditubuhkan di Turki tidak bertentangan dengan Islam.
Beliau telah memberitahu mereka bahawa semua bentuk pemerintahan kuku besi
adalah bertentangan dengan undang-undang Islam. Perundangan Islam hanya akan
berkembang dan menunjukkan kemuliaannya di dalam suasana yang bebas. Kemudian
beliau telah mengumpulkan syarahan-syarahannya itu di dalam sebuah buku
bertajuk Perbahasan.


Pada musim sejuk tahun 1911, Bediuzzaman telah dijemput
ke Damsyik untuk menyampaikan khutbah di Masjid Umayyad. Para jemaah ketika itu
termasuklah 100 ulama yang terkenal. Dalam khutbahnya, beliau telah berkata
bahawa tamadun sebenar yang berada pada umat Islam akan berdiri tegak di dunia
moden ini. Selepas itu, beliau pergi ke Istanbul sekali lagi untuk meneruskan
usahanya agar sebuah universiti didirikan di Anatolia Timur. Kemudian,
Bediuzzaman telah di lantik sebagai wakil bagi Turki Timur untuk mengiringi
Sultan Muhammad Resyad melawat beberapa daerah di wilayah Balkan. Ketika di
Kosovo, di mana sultan bercadang untuk membina sebuah universiti, beliau telah
berkata kepada sultan, “Kawasan Timur lebih memerlukan sebuah universiti kerana
ia merupakan pusat dunia Islam.” Beliau telah berjaya meyakinkan sultan
Muhammad Resyad yang menyediakan peruntukan sebanyak 19,000 lira wang emas
untuk tujuan itu. Sultan kemudiannya pergi ke Van, satu bandar di wilayah
Anatolia Timur untuk meletakkan batu asas universiti tersebut. Malangnya,
pembinaan universiti tersebut tidak dapat disiapkan kerana tercetusnya Perang
Dunia Pertama tidak lama kemudian.
Di dalam Perang Dunia Pertama, Bediuzzaman telah dilantik
sebagai komander pasukan sukarelawan di medan perang Kaukasia dan Anatolia
Timur. Keperwiraan yang telah ditunjukkan oleh beliau di medan pertempuran
mendapat pujian dari para panglima Tentera Turki Kerajaan Uthmaniah, Anwar
Pasya, Menteri Pertahanan dan Ketua Angkatan Tentera ketika itu.
Pasukannya telah digelar “Pasukan Topi Berbulu”. Pasukan
ini telah menakutkan tentera Russia dan pengganas Armenia ketika itu. Di medan
perang inilah beliau telah menulis tafsirnya yang bertajuk “Isyaratul I’jaz” di
dalam bahasa Arab. Karyanya ini ditulis ketika beliau menunggang kuda di
barisan hadapan dan di dalam kubu-kubu pertahanan di medan perang. Tafsir ini
kemudiannya mendapat penghargaan daripada para ulama terkenal di Turki dan
Kaherah.
Dalam satu pertempuran menentang pencerobohan tentera
Russia, Bediuzzaman dan 90 pegawai tentera yang lain telah ditawan dan dihantar
ke khemah tahanan perang di Kosturma, berdekatan Siberia di barat laut Russia
selama 2 tahun. Di sini, Bediuzzaman pernah dijatuhkan hukuman tembak sampai
mati kerana menghina Jeneral Nicholas Nicolavich, Ketua Angkatan Tentera Russia
di medan perang Kaukasia, yang juga merupakan bapa saudara Czar, Raja Russia
ketika itu. Walau bagaimanapun, hukuman itu kemudiannya dibatalkan. Peristiwa
itu adalah seperti berikut:
Pada satu hari, Jeneral Nicholas Nicolavich melawat
khemah tahanan tersebut dan berjalan di hadapan Bediuzzaman tetapi beliau tidak
bangun menghormatinya. Bila ditanya mengapa beliau berbuat demikian, beliau
lantas berkata, “Saya seorang ulama Islam dan di dalam hati saya ada iman.
Sesiapa sahaja yang ada iman di dalam hatinya adalah lebih mulia daripada
mereka yang tiada. Saya tidak boleh bertindak bertentangan dengan iman saya”.
Akibat dari peristiwa itu beliau kemudiannya dibicarakan di mahkamah tentera
dan dijatuhkan hukuman mati.Sebelum hukuman dijalankan, beliau sempat bersolat di
hadapan pasukan penembak. Melihat keadaan itu, Jeneral Nicholas Nicolavich
datang kepadanya untuk meminta maaf serta berkata beliau kini telah sedar
bahawa Bediuzzaman bertindak sedemikian kerana ingin berpegang teguh kepada
imannya. Sungguh sedih sekali kerana pengiktirafan dan penghormatan yang
diberikan seperti ini oleh musuh lama orang-orang Islam tidak ditunjukkan oleh
sebahagian orang-orang Turki yang telah menyebabkan beliau selanjutnya
menjalani hidup yang penuh dengan berbagai penderitaan.
Berikutnya, kekacauan yang meletus pada awal musim bunga
tahun 1918 kerana Revolusi Komunis di Russia telah memberi peluang kepada
Bediuzzaman untuk melepaskan diri dari tahanan di Kosturma. Selepas melakukan
satu perjalanan yang jauh sekali, melalui beberapa negara Eropah, beliau pun
sampai ke Istanbul pada bulan Jun 1918. Di Istanbul, beliau dianugerahi pingat
penghormatan atas sumbangannya di medan perang. Anwar Pasya, telah menawarkan
kepadanya beberapa jawatan di dalam kerajaan tetapi beliau menolak. Namun, atas
cadangan pihak tentera beliau dilantik menjadi anggota Darul Hikmah Al-Islamiah
tanpa pengetahuannya. Setelah mengetahui pelantikannya itu, beliau tidak
membantah kerana jawatan ini adalah jawatan ilmiah semata-mata.
Semasa negara Turki dicerobohi oleh tentera British
selepas kalah dalam Perang Dunia Pertama pada tahun 1918 hingga 1919,
Bediuzzaman telah menunjukkan penentangan yang terang-terangan terhadap
penjajah British. Hal ini hampir melibatkan nyawanya melayang. Katakata
beliaukepada pihak British telah ditulis di dalam akhbar harian. Lantaran itu
beliau menjadi sasaran komplot bunuh pihak British. Dengan pertolongan Allah
beliau terpelihara daripada ancaman tersebut dan seterusnya berhadapan dengan
tugas dan cabaran-cabaran baru.
Dalam tahun 1922, kerajaan Turki telah menjemputnya ke
Ankara tetapi beliau menolak. Akhirnya, selepas dijemput sebanyak 18 kali,
barulah beliau bersetuju untuk ke Ankara. Beliau disambut oleh Dewan
Perhimpunan Kebangsaan (Parlimen Turki) di Ankara dengan penuh istiadat.
Walaubagaimanapun, beliau mendapati apa yang ada di Ankara tidaklah serupa
dengan apa yang diharapkannya. Kebanyakan para perwakilan di Dewan Perhimpunan
Kebangsaan lalai menunaikan kewajipan agama. Pada 19 Januari 1923, beliau
mengeluarkan satu kenyataan untuk mengajak para perwakilan menunaikan kewajipan
bersolat. Pada mulanya 50 hingga 60 daripada mereka mula menunaikan solat dan
kemudiannya angka ini semakin bertambah.
Bediuzzaman menghabiskan masanya selama lapan bulan di
Ankara dan kemudian ke Van pada 17 April 1923. Beliau menghabiskan masa selama
dua tahun di Van dengan mengasingkan diri, beribadat dan berzikir. Selepas itu,
satu pemberontakan berlaku di timur Turki pada bulan Februari 1925. Para
pemberontak meminta sokongan Bediuzzaman kerana beliau sangat berpengaruh di
kalangan rakyat tetapi beliau menolak dengan berkata, “Pedang hendaklah
digunakan ke atas musuh dari luar. Ia bukanlah untuk digunakan di dalam negeri.
Hentikan usaha kamu itu kerana ia akan gagal. Ia akan mengakibatkan beribu-ribu
orang lelaki dan wanita yang tidak bersalah terbunuh lantaran tindakan beberapa
orang penjenayah”.
Seterusnya Bediuzzaman difitnah dan beliau dibuang daerah
ke Burdur pada akhir bulan Mac 1925. Di sini, beliau dikenakan pengawasan ketat
sehingga mengakibatkan beliau menderita. Keadaan ini langsung tidak menyekat
beliau dari menyebarkan kebenaran iman kepada orang ramai di sekelilingnya
dengan mengumpul segala hasil penulisannya dalam bentuk buku.
Kegiatannya ini telah dapat dikesan lalu dilaporkan
kepada pihak berkuasa di Ankara menyebabkan satu rancangan diatur untuk
menyekatnya. Mereka kemudiannya menghantar beliau ke sebuah rumah tahanan di
Barla pada tahun 1926 yang merupakan satu tempat terpencil di bahagian tengah
Anatolia. Tempat tersebut dikelilingi bukit-bukau dan mereka berharap suasana
tempat ini akan menyebabkan Bediuzzaman mati dalam tahanan rumah keseorangan.
KEMUNCULAN RISALAH AN-NUR (RISALAH YANG BERCAHAYA)
Sebenarnya penyebaran iman bukanlah sesuatu yang perlu
dibimbangkan. Berdakwah juga bukanlah satu jenayah yang melayakkan nyawa
seseorang diancam. Namun begitu, hal ini dianggap satu jenayah pada ketika itu
di mana kezaliman pihak berkuasa menyelubungi negara Turki dengan dahsyatnya.
Azan telah diharamkan. Beratus-ratus masjid telah digunakan untuk tujuan bukan
keagamaan.

Perancangan telah dijalankan untuk memutuskan negara
Turki daripada zaman silam nya yang terkenal dengan segala nilai-nilai
akhlaknya yang mulia. Sesiapa yang bercakap mengenai agama memerlukan
keberanian. Ketua Jabatan Percetakan Kerajaan boleh mengarah sidang pengarang
akhbar memotong sebarang makalah yang menyentuh isu agama atas alasan merbahaya
dan boleh menyemai jiwa keagamaan di dalam pemikiran para belia.
Dalam suasana beginilah Bediuzzaman Said Nursi memasuki
bahagian kedua hidupnya yang digelarnya “Said Jadid” (Said Baru). Bahagian
kedua dalam hidupnya ini ditumpukan sepenuhnya kepada penulisan dan penyebaran
Risalah an-Nur mengenai iman dan Islam. Baginya kebenaran iman ialah kebenaran
sejagat yang paling penting. Membangkitkan semula iman dan Islam menjadi
matlamatnya apabila beliau berkata, “Saya akan buktikan kepada dunia bahawa
AlQuran ialah matahari rohani yang tidak akan luntur dan tidak akan padam”.
Maka itulah yang diperjuangkannya.
Bediuzzaman tidak mati keseorangan di Barla tetapi yang muncul ialah Said Jadid
yang seumpama matahari, menyinari berjuta-juta rakyat Turki dengan cahaya iman.
Di Barla, pengawasan ketat dan penindasan dikenakan ke
atas Bediuzzaman. Sebenarnya, musuh-musuhnya belum mengenalinya lagi. Inilah
orang yang ditakuti tentera Russia ketika Perang Dunia Pertama. Inilah orang
yang sanggup meludah ke muka orang British yang menjajah Istanbul. Inilah orang
yang berjaya terlepas dari tali gantung sebanyak beberapa kali. Walau
bagaimanapun, mereka akhirnya mengenalinya juga apabila salah seorang dari
pemimpin mereka terpaksa berkata, “Segala apa yang kami lakukan selama 25 tahun
yang lepas tidak berjaya menyekat Said Nursi dari meneruskan kegiatannya”.
Beliau telah menghabiskan hidupnya di Barla selama 8
tahun setengah di bawah penindasan yang dahsyat. Dalam tempoh tersebut, beliau
sempat menulis tiga suku daripada penulisan agung yang berbentuk tafsir yang
digelar nya Risalah an-Nur.
Kesemua penulisan dalam tafsir ini pada peringkat awalnya
ditulis dengan tangan kerana beliau dan para pelajarnya ketika itu tidak mampu
menyediakan belanja pencetakan dan mereka juga tidak dibenarkan
berbuatdemikian. Tugas menulis tafsir ini dengan tangan adalah kerja merbahaya
pada ketika itu. Mereka yang melakukannya telah diseksa di dalam penjara dan
balai-balai polis. Pada masa yang sama, berbagai usaha dijalankan untuk menyekat
orang ramai dari menghubungi Bediuzzaman.
600,000 NASKHAH DITULIS DENGAN TANGAN
Ketika itu penulisan atau penyebaran walaupun hanya satu
karya agama bukanlah sesuatu yang sesiapa pun berani lakukan. Inilah perjuangan
berani yang berterusan yang menjadi pilihan Bediuzzaman dan para pelajarnya.
Apabila keadaan di mana Risalah an-Nur ditulis dan disebarkan ke seluruh
Anatolia diambil kira, maka betapa benarlah kata Maryam Jamilah, “Tidaklah
keterlaluan untuk mengatakan bahawa apa saja keimanan Islam yang masih ada di
Turki pada ketika itu adalah atas usaha tanpa penat dari Bediuzzaman Said
Nursi”.
Mereka yang telah memahami inti pati iman melalui Risalah
an-Nur mencapai tahap keimanan yang kental sehingga mampu menunjukkan
keberanian dan keperwiraan Islam yang hebat. Bediuzzaman, yang mewakili roh
perjuangan Risalah an-Nur sendiri telah menjadi pemimpin bagi ratusan ribu
pelajar dan kini telah mencapai jutaan pelajar yang menghayati karya tersebut.
Beliau telah menjadi contoh kepada orang-orang Islam di Turki ketika itu.
Beliaulah penyokong mereka di hari-hari yang penuh bahaya, seumpama seorang
ketua tentera yang memberi galakan kepada tenteranya melalui keberanian dan
kewibawaannya sendiri. Dengan ini, mereka telah berjaya menghilangkan ketakutan
daripada hati orang ramai sehingga kini maruahnegara telah dapat dikembalikan.
Pada tahun 1935, Bediuzzaman bersama 125 orang pelajarnya
telah ditahan dan dibicarakan di Mahkamah Jenayah Eskisehir. Dalam tempoh
perbicaraan berlangsung, mereka terpaksa menghabiskan selama 11 bulan di dalam
penjara Eskisehir yang penuh dengan penderitaan. Bediuzzaman kemudiannya
dipindahkan ke penjara Kastamonu selama 7 tahun. Di sana, Beliau masih terus
menulis dan menyebarkan Risalah an-Nur. Oleh sebab beliau dan para pengikutnya
tidak diberi kebebasan, mereka telah menubuhkan rangkaian pengirim Risalah
al-Nur yang dinamakan “Posmen Nur” (Nurcu). Hasilnya, Nurcu telah berjaya
menyebarkan sebanyak 600,000 naskhah Risalah an-Nur yang bertulisan tangan ke
seluruh Anatolia.
Pada tahun 1943, beliau bersama 126 orang pelajarnya
telah ditahan dan dibicarakan di Mahkamah Jenayah di Denizli. Kali ini beliau
dituduh mencetak secara rahsia satu risalah di Istanbul mengenai kewujudan
Tuhan. Perjuangannya tidak pernah reda sama ada dalam buangan mahupun di
penjara. Di dalam penjara Denizli, beliau telah bertindak memulihkan para
banduan dan penjenayah yang dianggap tidak berguna oleh masyarakat. Beliau juga
telah berjaya menghasilkan karya-karya baru walaupun kertas dan pena tidak dibenarkan
di bawa masuk ke dalam penjara. Oleh itu, karya-karyanya ditulis di atas
cebisan-cebisan kertas yang dikoyak dari apa sahaja barangan yang ada. Karyanya
kemudian di seludup keluar di dalam kotak-kotak mancis.
Salah satu karyanya yang berjudul “Buah-buah Iman” telah
ditulis dengan cara ini. Perbicaraan di Denizli berakhir dengan keputusan
beliau dibebaskan sebulat suara selepas 9 bulan dipenjarakan. Tetapi ini tidak
bermakna beliau telah diberikan kebebasan sepenuhnya.
Atas arahan pihak berkuasa di Ankara, beliau telah
dihantar ke sebuah bandar lain bernama Emirdag pada tahun 1944. Bagi
Bediuzzaman, Emirdag juga sama dengan tempat-tempat yang lain. Sekali lagi
beliau diawasi, ditindas dan diancam. Namun begitu, beliau terus memperjuangkan
iman dan Islam. Tempohnya di Emirdag sekali lagi berakhir dengan penangkapannya
semula. Kali ini pada Januari 1948, beliau bersama dengan 53 pelajarnya telah
ditahan dan dihantar ke Mahkamah Jenayah Afyon untuk dibicarakan. Beliau dijatuhkan
hukuman dan dipenjarakan selama 20 bulan.
Kekejaman di penjara ini adalah lebih teruk berbanding
yang lain. Bediuzzaman ketika itu berumur 70 tahun dan sedang menderita akibat
berbagai penyakit. Pihak berkuasa telah meletakkannya di sebuah bilik penjara
bersendirian yang mempunyai tingkap-tingkap yang pecahwalaupun ketika itu
beliau telah uzur. Di dalam bilik penjara bertingkap pecah inilah Bediuzzaman
menghabiskan dua musim sejuk yang sangat mencabar. Apabila melihat musim sejuk
pun tidak dapat membunuhnya, maka musuhnya telah meracuninya. Ada pendapat
mengatakan beliau telah diracuni sebanyak 19 kali. Ketika beliau menderita
kesakitan akibat diracun, beberapa orang pelajarnya memberanikan diri untuk
menolongnya tetapi telah ditangkap dan diseksa dengan kejam sekali.
Akhirnya pada 20 hb. September 1949, hukuman ke atas
Bediuzzaman telah dibatalkan oleh Mahkamah Agung Turki. Beliau dibebaskan
setelah mahkamah mengambil masa yang lama untuk membuat keputusan. Pilihan raya
bebas dan adil yang pertama telah diadakan di Turki pada tahun 1950 di mana
sistem pelbagai parti telah menggantikan sistem satu parti. Pemerintahan kejam
Parti Republikan Rakyat yang tidak suka pada agama telah tamat. Pelbagai bentuk
kebebasan dan hak mula diiktiraf. Satu zaman baru telah bermula bagi sejarah
Republik Turki. Pengharaman ke atas azan telah dibatalkan dalam sidang pertama
parlimen baru Turki. Dalam tahun-tahun berikutnya, Bediuzzaman terlibat dalam
hanya satu perbicaraan sahaja iaitu pada Januari 1952 di Istanbul di mana
beliau tidak ditahan. Keputusan dari perbicaraan ini ialah beliau didapati
tidak bersalahsebulat suara. Akhirnya dalam tahun 1956, Mahkamah Agung di Afyon
telah mengisytiharkan beliau dan anak-anak muridnya tidak bersalah.
Selepas hampir seabad berkhidmat untuk iman dan Islam,
Bediuzzaman Said Nursi kembali ke rahmatullah pada pagi 23 hb. Mac, 1960.
Beliau telah pergi dengan penuh kemuliaan dan kemenangan. Hasil karyanya telah
menyinari abad ini dan abad-abad yang mendatang.
Bediuzzaman telah memahami sebab yang paling penting
dalam keruntuhan dunia Islam sebagai kelemahan dalam asas keimanan. Kelemahan
ini bersama serangan- serangan pada asas keimanan pada abad ke 19 dan 20 yang
dijalankan oleh fahaman kebendaan, ateis dan lainnya atas nama sains dan kemajuan
menjadikannya insaf bahawa keperluan yang mustahak dan genting adalah untuk
menguatkan dan menyelamatkan keimanan. Apa yang diperlukan adalah untuk
menggembleng semua tenaga untuk membangunkan ajaran Islam melalui asas keimanan
dan untuk menjawab persoalan-persoalan keimanan ini pada tahap yang diperlukan
dengan jihad yang maknawi.
Risalah an-Nur ialah koleksi karya yang memberi keutamaan
kepada asas keimanan dari yang berasaskan kebenaran Al-Quran kepada manusia
moden. Metodologi yang digunakannya adalah dengan menganalisis keimanan dan
kekufuran serta menunjukkan melalui hujah-hujah yang rasional dan terang bahawa
bukan sahaja keimanan boleh dibuktikan, kesemua kebenaran yang terkandung dalam
keimanan seperti kewujudan Tuhan dan keesaanNya, kerasulan dan kebangkitan
manusia di hari akhirat dalam bentuk jasad dapat dibuktikan juga.
Dalam menjelaskan keadaan yang sebenarnya dari tujuan
utama penciptaan manusia dan alam semesta ini, Risalah an-Nur menunjukkan
bahawa kebahagiaan di dunia dan di akhirat hanya boleh diperoleh dalam keimanan
dan ilmu ketuhanan. Ia juga menunjukkan kekufuran, menyebabkan roh manusia dan
hatinya mengalami kesakitan dan kesedihan yang amat sangat yang menyebabkan
orang-orang yang sesat berusaha untuk menghilangkannya melalui cara yang
melalaikan dengan menolak kenyataan.
From Source Internet :)

Comments
Post a Comment