Nurul Salwa Al-Fateh. Pertemuan pertama kali
dengan wanita hebat seperti Nurul Salwa Al-Fateh pasti tidak mampu dilupakan.
Pelajar perundangan syariah yang sangat hebat tentang hukum agama. Penegak
keadilan. Pembanteras kezaliman. Begitu tabik aku kepada Nurul Salwa Al-Fateh.
Namun apa yang pasti, wanita ini sebenarnya amat sukar untuk didekati. Terlalu
sukar. Wanita yang begitu sibuk beribadah dan berhubung dengan kekasihNya
menyebabkan dia sentiasa menyendiri daripada kelompok manusia yang sibuk dengan
kehidupan sosial masing-masing.
Jika dibandingkan aku dan Nurul Salwa Al-Fateh,
terlalu jauh perbezaan kami berdua. Hidup Nurul Salwa Al-Fateh begitu mengikut
syariat padahal aku pula banyak melanggarnya. Jauh di sudut hatiku, aku mahu
memiliki Nurul Salwa Al-Fateh itu. Aku seperti telah jatuh hati pada wanita
yang hujung namanya Al-Fateh itu. Tapi, bolehkah aku memilikinya? Sedangkan
kehidupan kami berdua saja sudah boleh membezakan aku yang jahat dan dia yang
baik. Hati ini sukar untuk dijangka. Bila aku tidak memerlukan cinta, ia datang
menyinggah. Bila diperlukan, ia tidak mahu datang. Itulah lumrahnya perkataan
yang bernama cinta.
Tetapi pada suatu hari, terjadi satu peristiwa
yang telah mengubah kehidupanku. Aku bertemu Nurul Salwa Al-Fateh. Pada ketika
itu, dia berada di perpustakaan kampus dan pada waktu yang sama, aku sedang
mencari bahan rujukan untuk menyiapkan kerja khusus yang diberikan oleh
pensyarah. Tiba-tiba, Nurul Salwa Al-Fateh memberi salam dan meminta aku
mengambil buku yang berada tidak jauh dari tempat aku berdiri. Aku begitu
terkejut dan terpegun dengan keindahan Nurul Salwa Al-Fateh. Memang benar kata
para pelajar di sini, dia pelajar yang luar biasa.
“Errr… Encik? Boleh ambilkan saya buku yang
tidak jauh dari tempat encik berdiri?”
Aku pun mengambil buku tersebut setelah lamunan
aku terhenti. Aku memberanikan diri untuk bertanya padanya adakah betul dia
Nurul Salwa Al-Fateh. Dia tersenyum. Aku sungguh terpukau dengan senyuman manis
bersama lesung pipitnya itu. Nurul Salwa Al-Fateh menganggukkan kepala dan
berlalu seraya meninggalkan aku salam. Hatiku berdebar-debar. Aura Nurul Salwa
Al-Fateh masih bersama denganku. Sejak dari itu, aku mula kerap ke perpustakaan
agar sentiasa bertemu wanita hebat itu.
Ke mana saja dia pergi, aku pun mengikutinya.
Segala aktiviti Nurul Salwa Al-Fateh sentiasa aku ketahui. Sifat peribadinya
tiada beza seperti Saidatina Fatimah Az-Zahra. Mungkin aku boleh samakan dia
dengan Ummu Abiha itu. Nurul Salwa Al-Fateh sentiasa menghadiri majlis-majlis
ilmu di masjid dan mengikuti aktiviti kebajikan. Sedikit demi sedikit, aku
telah berubah. Dahulu gaya hidupku terlalu kebaratan. Di dalam rumahku ini aku
sedar tiada sedikit pun sinar Islam. Botol arak tersimpan kemas di dalam
almari. Maksiat bermaharajalela di rumah ini. Aku sangat berasa jahil dan
sememangnya aku jahil dalam bab agama. Aku ingin berubah menjadi yang lebih
baik. Aku tidak mahu tersesat di jalan yang lagi menyesatkan ini. Namun pada
siapa harus aku bertemu?
Sedang asyik aku duduk di tasik buatan kampus,
hadirnya wanita idaman semua lelaki. Nurul Salwa Al-Fateh bersama beberapa
temannya menyapaku. Mungkin dia terlihat aku di dalam masalah. Entah bagaimana
dia boleh tahu tentang masalah yang dihadapiku ini. Nurul Salwa Al-Fateh
menyerahkan sekeping kertas yang tercatat padanya nama dan nombor telefon
seseorang. Dia meminta aku untuk berjumpa dengan orang tersebut. Kemudian dia
pun pergi bersama-sama rakannya dengan meninggalkan aku salam. Tanpa
melengah-lengahkan masa, aku mengeluarkan telefon bimbit lalu mendail nombor
tersebut. Perbualan antara aku dan Ustaz Muhammad tidaklah panjang. Aku hanya
meminta untuk berjumpa.
Pada malam itu, aku berjumpa Ustaz Muhammad di
sebuah masjid tidak jauh daripada kediamanku. Aku menceritakan segala kisah
hidupku dan meminta Ustaz Muhammad membimbingku. Dengan hati yang besar, Ustaz
Muhammad menerimaku sebagai anak didiknya. Kini aku mampu tersenyum. Aku mula
belajar untuk mengambil wuduk kemudian solat. Setelah itu aku mula membaca
surah-surah lazim. Bermula dengan surah Al-Fatihah dan 3 surah Qul. Dalam masa
beberapa hari aku sudah menguasainya. Aku umpama bayi. Bayi yang mula-mula
hanya tahu merangkak. Cuba berdiri dan berjalan tetapi pada suatu saat, aku
tersungkur. Walaupun sering aku rasa kesakitan, tapi aku tidak mengalah. Aku
berdiri lagi dan berjalan perlahan-lahan. Alhamdulilah, sekarang aku mampu
melaksanakan perintah Allah yang menjadi perkara yang pertama dihisab di alam
barzakh, solat.
Usai saja solat Zohor di masjid kampus, aku
terserempak dengan Nurul Salwa Al-Fateh. Aku menyapanya dengan memberi salam.
Nurul Salwa Al-Fateh yang ketika itu bersama temannya memalingkan wajah ke
belakang dan menjawab salam yang aku berikan. Aku mengucapkan terima kasih
kepadanya kerana telah menemukan aku kepada Ustaz Muhammad. Nurul Salwa
Al-Fateh menganggukkan kepala dan berkata dia hanya membantu mempertemukan saja
aku dan Ustaz Muhammad. Tidak lebih daripada itu. Ya Allah, wanita di hadapanku
ini sungguh merendah diri. Sebelum meminta diri, aku sekali lagi mengucapkan
terima kasih yang tidak terhingga kepadanya. Aku pun pergi meninggalkan Nurul
Salwa Al-Fateh dengan sebuah senyuman yang telah aku khaskan buatnya.
Beberapa hari kemudian, aku mendapat khabar
Nurul Salwa Al-Fateh dilamar oleh seorang ustaz. Ustaz Salahuddin Al-Ayyubi.
Bekas pelajar Universiti Al Azhar. Tetapi ditolak oleh Nurul Salwa Al-Fateh.
Ramai lelaki yang telah cuba melamar Nurul Salwa Al-Fateh tetapi kesemuanya
pulang dengan hampa kerana lamaran masing-masing telah ditolak olehnya.
Lelaki-lelaki yang melamar Nurul Salwa Al-Fateh bukan calang-calang orang.
Kesemuanya kuat agama dan merupakan anak orang berada. Di hatiku timbul satu
soalan: Siapakah yang boleh mendapatkan Nurul Salwa Al-Fateh itu?
Seperti biasa, aku akan berada di masjid
bersama-sama Ustaz Muhammad pada setiap malam Jumaat. Mengaji Al-Quran bersama
dengannya. Memperbetulkan tajwid jika aku tersalah. Malam itu, aku merasakan
bacaanku semuanya tidak betul sehingga Ustaz Muhammad menjadi hairan. Apakah
yang bermain di fikiranku sebenarnya? Mengapa setiap bacaanku menjadi salah?
Ustaz Muhammad meminta aku berhenti membaca.
Takut jika aku terus membaca, banyak lagi kesalahan yang aku lakukan. Aku rasa
gundah gulana. Wajah Nurul Salwa Al-Fateh bermain di minda. Patut saja aku
tidak boleh membaca al-Quran dengan baik. Ustaz Muhammad bertanya kepadaku
andai aku mempunyai masalah. Aku telah menganggap Ustaz Muhammad seperti ayahku
sendiri dan begitu senang untuk aku bercerita kepadanya. Aku menceritakan
kepadanya mengenai Nurul Salwa Al-Fateh itu. Ketika aku bercerita, aku tidak
mahu menyebut nama Nurul Salwa Al-Fateh.
“Kenapa tidak cuba untuk melamar wanita itu?”
soal Ustaz Muhammad. Aku yang bersandar pada dinding masjid tersenyum.
“Saya dan wanita itu umpama langit dan bumi.
Bagaimana untuk saya melamar wanita solehah itu padahal sebelum saya, ramai
lelaki yang telah pulang dengan hampa kerana lamaran sudah ditolak. Jika saya
yang pergi melamarnya, sudah pasti ditolak oleh wanita itu,” jawabku. Tiba-tiba
Ustaz Muhammad ketawa.
“Bagaimana kamu tahu kamu ditolak oleh wanita
itu padahal kamu belum mencubanya? Belum cuba, kamu sendiri tidak akan tahu
keputusannya bagaimana. Mungkin wanita itu akan menerima kamu sebagai
suaminya,” kata Ustaz Muhammad. Aku terdiam. Ada benarnya juga kata Ustaz
Muhammad.
Kemudian Ustaz Muhammad menceritakan kisah
Saidina Ali bin Abi Talib dan Saidatina Fatimah Az-Zahra. Aku mendengar penuh
khsuyuk cerita yang diceritakan oleh Ustaz Muhammad. Cinta diam itu hanya
dipendamkan kerana takut melebihi cinta kepada Allah. Namun cinta mereka itu
disatukan juga. Aku begitu kagum kepada Saidina Ali bin Abi Talib yang begitu
sabar bagi menunggu cintanya.
“Namun saya bukan Saidina Ali, ustaz. Saya
hanyalah hamba Allah yang serba kekurangan. Saya mungkin tidak layak untuk
wanita itu. Wanita itu terlalu baik dan solehah. Dia mungkin layak untuk orang
lain. Bukan saya, ustaz,” kataku kepada Ustaz Muhammad.
“Jika kamu bukan Saidina Ali, wanita itu juga
bukan Saidatina Fatimah. Terlalu awal untuk berputus asa. Cubalah dahulu. Aku
yakin kamu pasti akan memiliki wanita solehah itu.” Kata-kata Ustaz Muhammad
memberi aku semangat. Aku perlu mencuba dahulu agar mengetahui jawapannya. Aku
melakukan solat hajat dan solat istikarah. Jika lamaranku ditolak, aku redha.
Aku tahu aku tidak layak buat Nurul Salwa Al-Fateh.
Berbekalkan doa, aku memberanikan diri berjumpa
orang tua Nurul Salwa Al-Fateh. Semasa aku bertemu orang tua Nurul Salwa
Al-Fateh, aku begitu terkejut besar sehingga menyebabkan aku tidak dapat
berkata-kata. Lelaki yang menjadi ayah kepada Nurul Salwa Al-Fateh itu adalah
Ustaz Muhammad. Kedatanganku disambut dengan penuh gembira oleh Ustaz Muhammad.
Aku berasa seperti dalam mimpi!
“Apakah kedatanganmu ke rumahku ini anak muda?”
soal Ustaz Muhammad. Aku menjadi sedikit gementar. Ragu-ragu untuk meluahkan
apa yang sudah tersirat di hati. Aku menarik nafas.
“Maaf kalau saya mengganggu ustaz, tetapi
kedatangan saya ke sini membawa hajat yang besar. Saya tahu saya bakal ditolak
tetapi saya mahu mencubanya dahulu. Saya ingin melamar Nurul Salwa Al-Fateh
menjadi isteri saya. Menjadi peneman hidup saya,” kata aku menyatakan
kedatanganku kepada Ustaz Muhammad.
“Persoalan yang bermain di minda dan di hatimmu
itu bakal dijawab sendiri oleh Nurul Salwa Al-Fateh. Andai dia menerima, aku
juga akan menerima. Andai ditolak, redhakan saja,” kata Ustaz Muhammad. Aku
hanya menganggukkan kepala. Ustaz Muhammad pun memanggil Nurul Salwa Al-Fateh
ke ruang tamu dan bertanya kepadanya sama ada dia menerima lamaranku atau
menolaknya. Aku perlu bersedia.
“Abah, Salwa pernah mendengar ada lelaki yang
mengatakan dia bukan sehebat Saidina Ali kerana kehebatan cinta Saidina Ali
kepada puteri Rasulullah SAW. Sedangkan Salwa juga bukanlah Saidatina Fatimah
Az-Zahra. Salwa juga ada kekurangannya. Setiap hari Salwa menunggu lelaki itu
melamar, namun hampa. Sehinggalah hari ini, penantian Salwa telah tamat, abah.
Lelaki itu hadir juga dan lelaki yang Salwa maksudkan adalah Muhammad
Zoriffudin. Lelaki yang menjadi anak didik abah. Dengan itu, Salwa menerima
lamaran lelaki yang ada di hadapan abah,” jawab Nurul Salwa Al-Fateh. Aku rasa
begitu gembira sehingga melakukan sujud syukur. Ya Allah, terima kasih!
Siapa menyangka penghujungnya indah? Aku yang
dahulunya berfikiran akan ditolak oleh Nurul Salwa Al-Fateh, tetapi diterima
lamaranku. Aku bukanlah sehebat lelaki-lelaki lain yang bekerjaya tinggi dan
luas ilmu agama. Aku masih lagi dalam keadaan kekurangan. Kekurangan kerana
tiada yang mengembalikan tulang rusukku yang hilang. Aku yang perlu mencarinya
kembali dan akhirnya aku menjumpainya. Bertemu kembali tulang rusukku yang
hilang dan tulang rusukku itu adalah Nurul Salwa Al-Fateh binti Muhammad.


Comments
Post a Comment